Saturday, July 2, 2011

Agama itu Nasihat.

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana telah memanjangkan umur kita didunia yang sementara bagi kita untuk bersama-sama meningkatkan ilmu dan amal kita. Dunia ini ibarat satu wadah bagi kita untuk membuat persiapan untuk kita semua menuju ke hari akhirat kelak.
Selawat dan salam ke atas nabi junjungan besar Nabi Muhammad, pemimpin umat Islam yang terulung. Moga kita semua mendapat syafa'at daripada baginda Insya-Allah.

-Daripada Abu Raqaiyyah Tamim Bin Aus Ad-Dari ra bahawa Nabi saw telah bersabda : Agama itu adalah Nasihat. Kami bertanya : Untuk siapa ? Sabda Nabi saw : Untuk Allah, Kitab-KitabNya, para RasulNya,para pemerintah orang Islam dan orang awam mereka. (HR Muslim)-

Jadi, pada hari ini mari kita bersama-sama menghayati sepotong hadis daripada Rasulullah mengenai konsep asas agama.

Dalam hadis tersebut, yang diriwayatkan oleh Muslim. Rasululullah menekankan kepada 5 fokus utama Agama Islam.

1) Nasihat untuk Allah
bermaksud kita meyakini dengan sepenuh hati dengan tanpa ada sebarang keraguan bahawa Allah itu ada dan kita membenarkan kewujudan Allah dan kita menafikan sebarang bentuk penyekutuan kepada-Nya. Dengan cara kita menyifatkan Allah dengan segala sifat yang mulia. Kita juga mengamalkan amal ibadat dengan ikhlas, menunaikan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

2) Nasihat untuk Kitab Allah
bermaksud kita membaca, menghafal, memerdukan suara, menghayati isi kandugan Al-Quran, meyakini bahawa Al-Quran itu adalah kalam Allah yang Agung serta kita beramal dengannya.

3) Nasihat Untuk RasulNya
Iaitu membenarkan risalah yang dibawa oleh baginda SAW dan beriman dengan
kesemua yang datang bersamanya iaitu Al-Quran. Kecintaan kepada Rasul juga
bermakna cinta kepada Allah swt.

4) Nasihat untuk pemimpin umat Islam
Iaitu kesukaan kita terhadap kebaikan mereka, petunjuk dan keadilan
mereka bukannya mengasihi mereka kerana keperibadian mereka.
Juga bermakna membantu mereka menegakkan yang hak dan mentaati
mereka serta memperingat dan menegur kesilapan mereka dengan penuh
hikmah dan kesabaran.

5) Nasihat untuk orang-orang awam
Iaitu membimbing mereka demi kebaikan di dunia dan akhirat. Kaum
muslimin mestilah sentiasa mengambil berat terhadap umat Islam yang lain.
Masyarakat Islam hendaklah melindungi kehormatan orang lain, menutup
aib, menolak kemudharatan, mengajak kepada kebaikan, mencegah
kemungkaran, mengasihi kanak-kanak dan menghormati orang tua dan
seumpamanya.

Itulah fokus utama Agama untuk sesuatu kelompok masyarakat. Jikalau hadis ini betul2 kita hayati dan kita amalkan, Insya-Allah kita akan dapat melihat keindahan satu bentuk cara hidup yang sempurna.

No comments:

Post a Comment