Assalamualaikum..:)
Rasanya dah lama sgt tak update blog ni. so, hai fans ! ( takde sesiapa )
Bisalah, bila dah nak masuk U ni, mula sibuk dgn macam2 perkara. nak isi borang, nak tandatangan orang ini itu, setem sana sini. Agak pening, yela pertama kali nak masuk u mungkin macam tula.
post kali ni tak ada apa yang menarik pon cuma nak berkongsi sebuah artikel yang agak menarik untuk kita semua baca insya-Allah :)
artikel ini saya dapat dari laman zaharuddin.net :)
jadi selamat membaca -
Melabur Secara Halal
Oleh
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
investment
Bagi mereka yang mempunyai lebihan duit, mencari pelaburan yang menguntungkan adalah suatu keutamaan. Malah bagi mereka yang berada di dalam kedudukan kewangan yang sederhana juga tidak terkecuali menlihat-melihat tempat dan cara pelaburan yang baik.
Memanfaatkan wang yang ada bagi tujuan pelaburan sememangnya amat digalakkan di dalam Islam. Malah membiarkan wang terperuk di dalam simpanan merupakan satu tindakan yang tidak digalakkan di dalam Islam kerana itu akan menafikan objektif tadawul atau berlegarnya harta tersebut di dalam pasaran sesebuah kawasan dan Negara hingga tidak dapat dimanfaatkan oleh ramai. Bergerak dan memanfaatkan ramai bukan sahaja suatu sifat yang terpuji bagi individu manusia, malah juga pada harta itu sendiri. Ibarat air yang tertakung lama tidak segar berbanding air sungai yang mengalir memberi manfaat di dareah yang luas dan pelbagai.
Galakkan untuk berusaha dan megembelng tenaga memanfaatkan sumber bumi dan juga harta yang telah dimiliki ini dapat dilihat dari firman Allah swt :
هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُواْ إِلَيْهِ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُّجِيبٌ
Ertinya : Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya, kerana itu mohonlah ampunan-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya). ( Hud : 61)
أَنزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ
Ertinya: Dan kami turunkan besi dan padanya ada kekerasan dan banyak manfaat kepada manusia ( Hadid : 25)
Manakala disebut di dalam sebuah hadis:
مَنْ بَاعَ دَارًا أَوْ عَقَارًا فَلَمْ يَجْعَلْ ثَمَنَهَا فِي مِثْلِهِ كَانَ قَمِنًا أَنْ لَا يُبَارَكَ لَهُ فِيهِ
Ertinya : Barangsiapa yang telah menjual rumah atau hartanah kemudian tidak menggunakan harga (hasil jualan) itu pada kegunaan yang setanding dengan sebelumnya, sewajarnyalah tiada diberkati pada jualan itu” ( Riwayat Ahmad, Ibn Majah ; Al Fath Al Kabir, As Sayuti, 3/165, bertaraf Hasan menurut Albani)
Melalui hadis ini dapat difahami arahan agar lebih bijak menggunakan keuntungan yang diperolehi dari jualan sesuatu aset bertanah (hartanah) dengan tidak menggunakannya kepada tujuan yang kurang bijak seperti membeli makanan yang akan habis atau kenderaan yang akan susut nilainya, sebaliknya perlu digunakan untuk membeli hartanah (landed and real property) seperti bangunan, rumah dan tanah. Jika digunakan hasil keuntungan jualan hartanah sebegitu untuk pembelian set yang lebih kurang nilai, ia dikira suatu pelaburan yang tidak diberkati.
اتجروا بأموال اليتامى لا تأكلها الزكاة
Baginda Nabi juga bersabda : Ertinya: perdagangkanlah harta anak yatim (yang berada di dalam amanah penjagaanmu) agar harta tersebut tidak susut kerana zakat” ( Riwayat Malik)
Hadis ini jangan lupa disalahfahami, ia ditujukan kepada penjaga anak yatim yang amanah agar memanfaatkan hata yatim yang dijagainya bagi tujuan perniagaan yang baik untuk kemaslahatan anak yatim tersebut. Supaya harta tersebut dapat berputar di dalam ruang ekonomi sesebuah kawasan, merancakkan lagi perniagaan setempat. Hasilnya diharapkan dapat mengelakkan harta simpanan itu susut akibat pembayaran zakat wajib setiap tahun.
Di zaman kita ini yang mana wang kertas digunakan, faktor inflasi yang menyebabkan susut nilai dan kuasa beli juga perlu dilawan dengan berniaga dan melabur agar keuntungan yang bakal diperolehi mampu mengatasi peratusan inflasi dan zakat sekaligus. Itulah suatu indikator bahawa Islam amat menggalakkan umatnya bersifat dinamik dan bijak dalam pengurusan kewangan.
Pelaburan sudah tentu menjadi satu langkah yang popular. Menurut kajian yang dilakukan di Amerika, pembaca boleh melihat bagaimana prestasi sepuluh tahun beberapa aset popular. Dari hasil yang diperolehi ia jelas menunjukkan pelaburan dalam logam bernilai, emas mendahului carta.
asset_class_
Bagaimanapun, menurut penilaian saya secara peribadi dari sudut etika, menjadikan emas sebagai bahan pelaburan jangka pendek, ia boleh mengundang elemen yang tidak baik justeru kurang digalakkan, berbanding menjadikannya sebagai bahan pelaburan jangka sederhana dan panjang.
KEUTAMAAN SEKTOR
Bagi mereka yang ingin melabur sudah tentu perkara asa yang perlu difikirkan adalah sektor mana yang perlu dipilih untuk diceburi. Dari perspektif Islam, setiap individu bertanggungjawab ke atas penggunaan harta dan wang modal mereka. Bagi insan yang soleh dan baik, tentunya akan digunakan ke arah yang baik juga. Nabi ada menyebut :
نِعْمَ الْمَالُ الصَّالِحُ لِلرَّجُلِ الصَّالِحِ
Ertinya : Sebaik-baik harta yang baik adalah yang berada di dalam pemikian orang yang baik.( Riwayat Ahmad dan Ibn Hibban)
Mengapa demikian? kerana setiap pertimbangan individu yang baik ini akan sentiasa menimbang kesan baik dan buruk yang terhasil dari barang pelaburan dan jenis bisnes yang dilaburi. Justeru, mereka pastinya akan memilih sesuatu yang dapat memberi kesan terbaik dan manfaat maksimum kepada masyarakat, bukan seperti jutawan tanpa jiwa kebaikan yang pasti akan memilih sektor pelaburan yang berpotensi memberi banyak untung, apa sahaja yang mempunyai ‘demand’ atau permintaan akan dilayari walau ia banyak mudaratnya. Tatkala itu, akan diikuti permintaan itu melalui pelaburannya walau ia berupa sektor hiburan, perjudian, pelacuran, dadah, rokok, perbankan riba, minuman keras yang pastinya akan merosak agama dan jatidiri masyarakat. Tiada diendahkan walau itu mungkin boleh menambah statistik jenayah dan kemungkaran serta kehilangan unsur berkat dan juga lain-lain kesan buruk kepada masyarakat.
SEKTOR KEUTAMAAN
Senarai keutamaan sektor yang patut dilabur adalah penting bagi seseorang pelabur Muslim yang bertaqwa. Satu pelaburan yang mungkin kurang pada jangkaan keuntungan kewangannya tetapi lebat dengan manfaat ukharawi perlu diberikan pertimbangan serius. Menurut sebahagian besar ulama, turutan keutamaan sektor pelaburan yang halal adalah :
Melabur dalam sektor yang membawa kejituan beragama di kalangan masyarakat seperti stesyen radio dan TV Islam, penerbitan bahan bacaan dan visual yang menyedarkan, model team building berorientasikan nilai Islam, Sekolah Islam dan yang sepertinya.
Alatan, mesin dan juga makanan yang menambah elemen keselamatan nyawa dan jiwa di dalam masyarakat seperti sector pembuatan kenderaan yang berkualiti, ubatan hasil kajian mendalam, makanan yang menyihatkan dan yang sepertinya.
Sektor perumahan awam yang pastinya membantu masayarakat beroleh penginapan yang baik dan berkualiti.
Sektor pendidikan yang merangkumi ilmu-ilmu fardhu kifayah seperti univeristi dan kolej universiti.
Begitulah serba ringkas turutan keutamaan yang boleh disarankan bagi mereka yang ingin dan sedang memikirkan sektor pelaburan yang diingini.
MODAL
Modal merupakan salah satu halangan dan cabaran besar buat pepelabur, jika sesebuah bisnes yang ingin diceburi itu memerlukan kos yang sangat tinggi, amat jarang kedapatan individu yang mampu menggunakan sepenuhnya wang sendiri untuk tujuan sebegitu. Mereka memerlukan sama ada pembiayaan dari pihak bank atau berkerjasama dengan syarikat atau indidivu lain.
Islam menggalakkan bekerjasama atau bersyarikat dalam menjalankan sesuatu bisnes, malah ia lebih disukai berbanding menjalankannya seorang diri selaku pemilik. Ini tentunya agar manusia dapat saling bantu membantu dalam kebaikan, menikmati bersama keuntugan dan menanggung keperitan kerugian bersama. Ia lebih dekat dengan fitrah manusia yang lebih gembira untuk gembira bersama dan berdukacita bersama yang lain.
Justeru, melihat kepada dalil dari Al-Quran, pernah diisyaratkan hal perkongsian ini :
فهم شركاء في الثلث
Ertinya : "dan mereka berkongsi dalam 1/3 " ( An-Nisa : 12 )
Manakala di dalam hadis qudsi disebutkan:
أنا ثالث الشريكين ما لم يخن أحدهما صاحبه
Ertinya : Nabi menyatakan bahawa Allah menyebut :" Allah adalah orang ketiga bersama dua orang yang bersyarikat selagi mana tiada salah seorang yang mengkhianati rakannya" ( Riwayat Abu Daud )
SYARAT UMUM
Antara syarat umum yang telah diletakkan dalam hal menyertai aktivti perniagaan dan perkongsian di dalam sesebuah pelaburan ini adalah :-
a. Jika modal itu datang dari institusi kewangan atau bank, WAJIB hanya mengehadkan kepada pembiayaan dari institusi kewangan Islam sahaja.
b. Sebarang jenis pinjaman dari rakan dan taulan mestilah tiada sebarang janji jaminan modal dan jaminan keuntungan. Juga dilarang janji keuntungan pada tempoh tertentu dalam apa jua peratusannya. Itu semua akan menjadikan modal diperoleh dengan cara pinjaman riba yang haram. Tatkala itu, walau perniagaan di dalam sektor yang halal sekalipun, ia tetap menjadi tidak halal.
c. Asas utama perniagaan adalah halal sahaja; tiada sebarang perbezaan pandangan bahawa menyertai atau berkongsi dalam syarikat yang asas utama perniagaannya adalah haram seperti memberi pinjaman Riba atau berniaga barangan yang diharamkan adalah tidak dibenarkan sama sekali.
d. Perkonsgian modal dan kepakaran dengan bukan Islam; Tidak dinafikan terdapat perbincangan dan pertikaian berkenaan keharusan berkongsi dengan individu bukan Islam.
Terdapat sebahagian ulama yang tidak membenarkannya dan ada juga yang menganggapnya sebagai makruh. Ia berdasarkan riwayat Ibn Abbas r.a
لا تشاركن يهوديا ولا نصرانيا ولا مجوسيا قلت لم قال لانهم يربون والربا لا يحل
Ertinya : Berkata Ibnu Abbas, "Jangan kamu bersyarikat dengan Yahudi, Nasrani atau Majusi" , maka aku ( Ibn Hamzah) bertanya " Mengapa tidak?" Jawab Ibn Abbas : "Kerana mereka melakukan riba dan riba tidak halal" ( Al-Mughni, Ibn Quddamah, 5/3 ; Al-Muhazzab, 1/345 )
Dalil di atas menjadikan Imam Al-Syafie menganggap ber'musharakah' dengan bukan Islam adalah makruh. Manakala Imam Ahmad, Awzaie dan Hasan al-basri menganggapnya harus. Imam Ibn Qudamah pula mengatakan kata-kata Ibn Abbas tadi hanyalah pandangan seorang sahabat dan tidak pula tersebar di kalangan sahabat lain.
Manakala Khalifah Umar al-Khattab berpandangan ia dibenarkan dengan iktikad bahawa sebahagian daripada pendapatan mereka adalah halal sebagaimana Nabi Muhammad pernah diriwayatkan membeli makanan dari Yahudi dan mencagarkan baju besi baginda SAW. (Riwayat Al-Bukhari; Al-Mughni, Ibn Qudamah).
asset_class_
Pandangan mengharuskan dengan melihat kepada perincian aktivitisyarikat ini disokong kuat oleh ulama besar kontemporari seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa. ( Al-Muamalat Al-Maliah, Syabir, hlm 210 )
Justeru selagi mana urusniaga utama syarikat atau majoriti dan asas syarikat adalah menepati Shariah, ia adalah sah walaupun terdapat rakan kongsi bukan Islam yang samada diketahui atau tidak bahawa modalnya dari yang haram. Ia juga dikuatkan oleh riwayat berikut :-
روى الخلال بإسناده عن عطاء قال نهى رسول الله عن مشاركة اليهودي والنصراني إلا أن يكون البيع والشراء بيد المسلم
Ertinya : Diriwayatkan oleh al-Khallal dengan sanadnya dari Ato' berkata : Rasulullah SAW melarang dari bermusharakah dengan Yahudi dan nasrani kecuali jika jual belinya ditangan orang Islam ( menuruti Shariah)" ( Al-kafi fi Fiqh al-Hanbali, 2/257 ; Al-Mubdi' , Ibn Mufleh, 5/4; Ibn Qayyim : Dhoif sanadnya kerana mursal : Ahkam Ahli Zimmah, 1/556 )
Demikian beberapa hal asasi yang ringkas bagi mereka yang ingin melaburkan harta dan wang mereka. Inshallah kita akan berbicara lagi berkenaan hal berkaitan yang lain pada siri yang akan datang.
Sekian
Dr. Zaharuddin Abdul Rahman
www.zaharuddin.net
25 April 2012
No comments:
Post a Comment