Tuesday, April 23, 2013

Berda'wah sambil bersukan atau bersukan sambil berda'wah ?

Da’wah Ketika Bersukan ?

Selalunya, kita akan teruja apabila bersembang atau bercerita tentang sukan. Jikalau kita ambil contoh bersembang tentang permainan bola. Hmm ! Boleh kata semua pada masa tu akan jadi seorang penganalisis bola yang sangat berpengalaman dan handal. Macam-macam jugalah nanti kritikan, komen mahupun kutukan yang keluar. Pada masa itu, dialah yang paling betul . Kalau buat seperti apa yang dia cakap, mesti menang lah ! Habis kalah teruk pihak lawan tu tau. Jurulatih pon masa tu tiba-tiba hilang kerja buat sementara waktu.

Tapi tak kisahlah. Semua orang berhak melontarkan pendapat dan suara. Inikan demokrasi ?

Baiklah berbalik pada isi utama kita. Da’wah ketika bersukan. Majoriti ahli sukan iaitu orang yang bersukan ini cenderung untuk memiliki segala baranagn yang berkaitan dengan sukan yang dimainkan. Bagi yang mampu lah. Mula daripada kasut, stoking, seluar, baju kalau boleh biar satu jenama sahaja. Kalau jenama Adidas, biar baju sampai ke kasut semuanya jenama Adidas. Ada pula yang mengkhususkan barangan sukan yang dia ada. Kasut bola futsal hanya untuk bola futsal sahaja dan tak boleh digunakan untuk aktiviti sukan yang lain seperti badminton atau bola jaring atau bola tampar atau bola futsal atau bola.. err..okay dah banyak sangat contoh ni.

Tak kisahlah semua tu. ( panjang lebar sangat dah intro ni )
Islam telah menggariskan panduan-panduan tertentu dalam melakukan sesuatu perkara. Al-Quran wahyu agung yang diturunkan Allah kepada Muhammad Rasululullah. Justeru, buku panduan yang sangat mulia ini perlu digunapakai oleh semua umat Islam yang berada di dunia ini. Untuk pemahaman konsep syariat yang sedikit lebih dalam –
Selain daripada Al-Quran sebagai sumber utama perundangan ( Syariah ) umat Islam. As-Sunnah, Ijma’ Ulama dan Qias merupakan sumber-sumber lain yang digunapakai dalam menentukan sesebuah perundangan yang telah dimaktubkan oleh Allah.

Apabila bersukan, kita sering terdedah kepada persekitaran yang rata-ratanya berpakaian tidak menuruti kehendak Islam iaitu berpakaian menutup aurat “:-
1- Lelaki : Daripada pusat hingga ke lutut ( Bukan pusat dan lutut ! )
2- Wanita : Seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan

Tidak kira dah pada masa ini walaupun dia tau dia adalah seorang muslim. Namun disebabkan oleh persekitaran ‘ bersukan ‘ itu tadi masyakarat Islam lebih rela berada dalam persekitaran bersukan yang dicipta oleh orang barat. Bagaimana ?
Kita boleh lihat pakaian sukan yang ada di pasaran sekarang ini amatlah jarang untuk kita lihat dan dapatkan potongan dan reka bentuk baju yang menetapi kehendak Islam. Lebih-lebih lagi pakaian sukan bagi wanita Islam.

Umat Islam lebih rela mengalah dan memberi ruang untuk unsur-unsur ‘ menolak’ agama ini terserap masuk ke dalam kehidupan seharian. Sebagai seorang muslim, inilah tanggungjawab yang perlu kita laksanakan untuk menyebarkan ayat-ayat cinta daripada
Allah kepada seluruh manusia.
Tunjukkan kepada dunia bagaimana Allah, dengan Islam sebagai satu-satunya agama yang diredhai-Nya telah meletakkan beberapa syarat dan peraturan demi memastikan keselematan dan keseimbangan kepada manusia.
Wanita terpelihara suci apabila mengenakan pakaian sukan yang menutup aurat dengan
sempurna.

Saiz baju besar sedikit daripada saiz badan dilabuhkan sehingga ke bawah punggung. Tudung pula menutup seluruh bahagian tubuh badan paras dada ( termasuklah belakang badan ). Seluar pula tidak ketat malah mesti dibiarkan besar.
Semua ini dilakukan demi menjaga maruah seorang wanita ! sayangnya Allah kepada wanita .

SubhanaAllah.

Persiapkan diri dengan kemahiran yang mendalam tentang sukan yang kita ceburi. Sinarkan mereka dengan cahaya penuh ta’ajub. Bagaimana ? Kita pamerkan semangat sukan dan kemahiran yang hebat dalam satu-satu sukan tetapi dalam pada masa yang sama kita mengikut landasan syariat yang ditetapkan oleh Allah. Tunjukkan kepada mereka walaupun pakaian kita tidak mengikut standard pemakaian sukan, tetapi kita sebagai seorang muslim tetap mampu untuk menjadi yang terbaik dalam bidang sukan.
Inilah tanggungjawab setiap umat Islam, memegang peranan sebagai seorang Dai’e di atas muka bumi ini. Terangkan kepada mereka kenapa Islam meletakkan syarat begitu dan begini. Pastinya mereka akan tertanya-tanya jika semua umat Islam berkeras untuk mempertahankan syari’at yang nampak mudah namun susah untuk dilaksanakan ini. Menutup Aurat.

Jalan Da’wah ini bercabang dan luas. Jalan ini boleh ke kanan dan boleh ke kiri. Tetapi matlamat dan tujuannya adalah sama iaitu untuk mentauhidkan Allah dalam setiap urusan yang dilakukan termasuklah bersukan.

Cabaran dan Halangan

Inilah jalan Da’wah. Jalan ini tidak pernah mudah. Antara cabaran yang dihadapi oleh umat Islam sekarang ialah penguasaan dan ‘ pemegang saham ‘ dalam industri sukan dunia bukan seorang Muslim. Apatah lagi peraturan-peraturan yang sudah terang lagi bersuluh tidak berlandaskan syariat Islam yang kita mahukan.

Kita ambil contoh sukan bola sepak yang diterajui oleh FIFA, sebuah organisasi dunia yang bertanggungjawab dan menyediakan garis standard terhadap sukan bola sepak di seluruh dunia. Mana mungkin organisasi FIFA akan terfikir tentang waktu solat lima waktu yang selalunya diisi dengan masa untuk perlawanan ?

Kita juga tidak akan dapat melihat penganjur Sukan Olimpik Dunia membuat satu garis panduan pemakaian yang khas untuk atlet-atlet muslim. Semuanya standard. Tidak ada yang lebih dan tidak ada pula yang kurang. Semua orang sama. Era Globalisasi ini menjadikannya begitu.

Bercakap tentang persepsi orang terhadap mereka yang ingin menjaga aurat ketika bersukan pula, itu satu hal yang lain. Ramai orang akan memandang sinis kepada mereka terutama wanita yang berpakaian seperti seorang muslimah dan bersukan. Katanya nanti rimas, susah nak bergerak dan bersukan. Macam-macam.
Kesimpulan

Islam tidak pernah melarang ataupun memandang sukan sebagai perkara yang kecil dan tidak penting. Rasululullah sendiri pon menekankan umat Islam supaya ada kemahiran ini. Ada dalam satu hadis daripada baginda menyarankan kita supaya mempunyai kemahiran menunggang kuda, memanah dan berenang. Aktiviti-aktiviti ini juga merupakan aktiviti sukan yang kini semakin popular di kalangan masyarakat dunia.

Tanggungjawab setiap umat Islam untuk bersifat sebagai seorang dai’e perlu ada dalam diri seorang muslim. Amat malang bagi umat Islam jika kita menolak secara total aktiviti sukan hanya kerana terlalu banyaknya unsur maksiat didalamnya. Sepatutnya kita mengislamkan semula sukan selari dengan tuntutan syari’ah.

No comments:

Post a Comment