Friday, June 3, 2011

Punca Penyakit Perpecahan Umat Islam

Perpaduan merupakan keperluan hidup manusia sejagat. Hal ini berpunca daripada cita-cita setiap manusia untuk hidup dalam keadaan aman, damai, selamat, sejahtera dan bahagia selamanya. Ini ditegaskan oleh Allah s.w.t.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan. Dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). (Surah al-Hujarat: ayat 13).

Oleh itu salah satu daripada matlamat utama pengutusan para Rasul ialah untuk menghapuskan perpecahan dan mengabadikan perpaduan di kalangan manusia.

Itulah cabaran utama yang dihadapi oleh para Rasul iaitu penyakit perpecahan dan pertumpahan darah yang berpunca daripada kesesatan akidah.

Misi utama dakwah yang diperjuangkan oleh Rasulullah s.a.w. juga adalah untuk perpaduan. Kejayaan Rasulullah s.a.w. mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar merupakan satu peristiwa yang paling bersejarah dalam perkembangan Tamadun Islam.

Selepas itu Baginda menyatupadukan mereka dengan golongan Muhajirin yang berhijrah dari Mekah. Maka lahirlah barisan umat Islam yang kuat sehingga akhirnya berjaya menakluk beberapa wilayah dunia dalam masa 80 tahun berikutnya.

Punca utama perpecahan umat Islam adalah kerana meninggalkan ajaran al-Quran dan as-Sunnah dan mengikut hawa nafsu. Perpaduan ummah mempunyai banyak hikmah dan kepentingannya.

Antaranya perpaduan merupakan jambatan emas yang menuju ke arah pencapaian keamanan dan kesejahteraan yang dimimpikan oleh setiap manusia dan ia juga penghalang pada perpecahan.

Pembangunan ummah bermula daripada pembangunan pendidikan yang bertanggungjawab membangunkan sahsiah, keluarga, kejiranan, masyarakat, negara, ekonomi, kebudayaan, sains, teknologi, seni bina dan sebagainya.

Perpaduan bertanggungjawab menggerunkan musuh Islam. Ia juga merupakan lambang kesempurnaan iman. Misi perpaduan yang diperjuangkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah untuk setiap umat Islam hingga hari kiamat nanti.

Perpecahan ummah membawa implikasi yang amat buruk ke atas umat Islam. Antaranya ialah mengurangkan kesempurnaan iman, hilangnya kehebatan ummah dari kaca mata musuh Islam, dijajah dan ditindas oleh musuh, mencemarkan imej Islam, mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. bukan sahaja di dunia malah berterusan hingga hari akhirat, menghilangkan rahmat Allah seperti kurangnya hasil pendapatan dan produktiviti, kemusnahan ummah dan kemusnahan alam.

Bagaimana membina kesatuan ummah? Antara caranya ialah membina kefahaman tentang kepentingan perpaduan ummah. Dengan kefahaman itu semestinya dapat meningkatkan kesedaran dan keinsafan tentang tanggungjawab setiap umat Islam agar berusaha untuk meningkatkan perpaduan.

Pendidikan tidak dapat dinafikan sebagai media utama dalam pembinaan perpaduan ummah. Menyuburkan persekitaran dan suasana perpaduan dengan menggalakkan budaya tolong-menolong, saling bekerjasama, saling ingat mengingati, mengkaji sejarah umat Islam yang terdahulu dan sebagainya.

Elakkan punca yang boleh meruntuhkan perpaduan seperti fitnah, khabar angin, buruk sangka, tapis dan selidiki perkhabaran terlebih dahulu sebelum diterima dan menghargai nilai perpaduan.

Hassan Albanna berkata, bekerjasama dalam perkara yang disepakati dan bertolak ansur dalam perkara yang diselisihkan.

Perselisihan pendapat bukan jambatan untuk memecah belahkan ummah.

Dalam falsafah bangsa kita sudah lama tertanam semangat perpaduan sehingga lahir peribahasa `bersatu kita teguh bercerai kita roboh'. -

Biodata penulis :
Muhammad Fauzan Bin Dahalan.
Pelajar tingkatan 4 SAM Paya Jaras.
16 tahun.

No comments:

Post a Comment